Tuesday, November 4, 2014

Air Terjun Kionsom


Assalamualaikum, selamat sejahtera. 

Dua minggu lalu, penulis telah sempat menjayakan aktiviti mandi manda dan berkelah di air terjun Kionsom bersama dengan rakan-rakan tanpa perancangan awal. 

Air Terjun Kionsom adalah salah satu pusat rekreasi air terjun yang terdekat dengan bandar Kota Kinabalu, Sabah. Ia terletak 15km dari pusat bandar dan memerlukan kira-kira 45 minit perjalanan untuk ke sana.

Kedudukan air terjun Kionsom ini yang terletak di kawasan tanah tinggi daerah Inanam membuatkan udaranya sedikit sejuk dan nyaman. 

Penulis dan rakan-rakan memilih untuk berada di tingkat air terjun yang pertama yang ketinggian airnya mencurah kira-kira 10 meter dari atas. Oleh kerana waktu itu adalah musim hujan, air terjun mengalir dengan sangat deras dan airnya juga sedalam paras dada. Tetapi air di tingkat dua lebih cetek dan sesuai bagi kanak-kanak.


Antara kemudahan awam yang disediakan di sana termasuk tandas awam di dalam dan luar kawasan air terjun, bilik persalinan lelaki dan perempuan dan pondok berehat.


Di luar kawasan air terjun terdapat gerai-gerai yang menjual makanan dan minuman untuk kemudahan pengunjung.


Pengunjung dinasihatkan untuk membawa makanan yang sudah siap dimasak kerana sebarang aktiviti memanggang atau memasak makanan adalah tidak dibenarkan. 

Bayaran masuk bagi Dewasa ialah RM1.50 seorang dan kanak-kanak RM0.50 seorang sahaja.


Bagi mereka yang ingin lari seketika daripada kesibukan kota atau kerja, ini lah tempatnya kerana kedudukannya yang dekat dengan pusat bandar dan setengah hari berada di tempat ini sahaja pun sudah cukup untuk menyegarkan tubuh, minda dan jiwa.

Semoga bermanfaat dan bahagia selalu.

Penulis: Nooren Aman